KUALA LUMPUR,  (Bernama) — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong keputusan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keengganannya membenarkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengambil sampel DNA kerana dikhuatiri akan dimanipulasi pihak berkuasa.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang juga anggota Parlimen Bachok di Parlimen hari ini, berkata parti ini mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi.

“Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa boleh di manipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar.

“Saya menyeru kepada semua agar berpegang teguh kepada prinsip Islam dan undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti kesalahannya di mahkamah yang diadili. Asas ini harus dipegang dalam menilai tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Di samping itu, beliau juga mengalu-alukan pembebasan Anwar namun memandang berat cara penangkapan yang dibuat terhadapnya.

“Kami memandang berat cara penangkapan Anwar yang dibuat polis semalam yang tergesa-gesa dan kasar walaupun beliau bersedia melaporkan diri dan memberi kerjasama.

“Kami akan terus berjuang dengan Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil berdasarkan suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, peguam kepada Anwar, Sankara N. Nair berkata anak guamnya tidak membenarkan HKL mengambil sampel DNA kerana dikhuatiri ia akan dimanipulasi oleh pihak berkuasa.

Katanya mereka bimbang DNA akan dimanipulasi kerana pasukan penyiasat dalam kes liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 juga terlibat dalam siasatan kali ini.

Anwar, yang ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya di Bukit Segambut di sini pada 1 tengah hari semalam, dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.


Leave a Comment