Anwar Ditahan Di Bawah Seksyen 377A, Kes Liwat: Peguam
Rabu, 16 July 2008

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat, kata peguamnya Sankara Nair.
Menurutnya sehingga 2.50 petang tadi, Anwar yang ditemani seorang lagi peguam, R. Sivarasa, sedang memberi keterangan kepada polis selepas tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada pukul 1.10 tengah hari tadi.

“Polis selepas ini akan memohon kepada mahkamah bagi perintah reman selama 24 jam atau tidak melebihi 14 hari terhadap Datuk Seri Anwar bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di IPPKL di sini hari ini.

Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas.

Sankara berkata Anwar ditahan pada 1 tengah hari oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kenderaan, kira-kira 50 meter dari rumah Anwar di Segambut, sebelum diiringi ke IPKKL.

Beliau yang turut berada bersama Anwar ketika itu mendakwa polis tidak mempunyai dokumen rasmi atau surat perintah ketika menahan Anwar.

Pemandu Anwar, Abdullah Sani Said, 49, berkata ketika ditahan, Anwar sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya sambil diiringi dua peguamnya itu, selepas selesai memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya, berhubung laporannya mengenai pemalsuan fakta oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Bercakap kepada pemberita ketika sedang menunggu di IPKKL, Abdullah berkata kira-kira 20 anggota polis yang berpakaian seragam menahan kenderaan yang dipandunya sebelum mereka memaklumkan kepada Anwar tujuan mereka tanpa bertindak kasar terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Mereka hanya kata nak ambil Datuk Seri (Anwar) untuk bawa ke IPKKL untuk siasatan. Datuk Seri ada tanya mereka ada surat tak, tetapi polis kata tak ada,” kata Abdullah yang telah bekerja untuk Anwar selama 25 tahun.

SUmber : www.malaysia-today.net

Khamis, 17 July 2008

Ketua Umum KeADILan Dato Seri Anwar Ibrahim bermalam dalam tahanan polis selepas beliau ditangkap sekitar jam 1 tengahari semalam, demikian dimaklumkan Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua.

Perkara tersebut disebut dalam satu sidang media di luar Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Anwar Ibrahim ditahan sejurus selepas Anwar dibawa pulang dari Hospital Kuala Lumpur pada 10.30 malam. Anwar Ibrahim dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Menurut peguam Sivarasa Rasiah, Anwar ditahan semalam untuk dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta awal pagi ini, serta untuk disoalsiasat seterusnya.

Isterinya dan Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di IPK Kuala Lumpur sekitar jam 11.30 malam bagi menyerahkan persalinan dan kegunaan tandas kepada Anwar Ibrahim.

Dari maklumat yang diterima Suara KeADILan Anwar Ibrahim dikurung dalam sel kosong tanpa katil, tilam mahupun apa sahaja.

Sedih melihat keadaan tersebut, Dr Wan Azizah Wan Ismail sekadar mampu memberi dua helai tuala sebagai alas badan suaminya itu dari sejuk simen dan serangga yang melata di lantai sel.

Sumber : www.malaysia-today.net

« Laman Sebelumnya